Saturday, 10 December 2011

KARANGAN - TUGAS SEBAGAI AMANAH


Kamu telah terpilih menjadi Ketua Murid. Dalam satu majlis pelantikan, kamu diminta menyampaikan ucapan. Sediakan ucapan kamu selengkapnya.

TUGAS  SEBAGAI AMANAH

Yang Dihormati Pengerusi Majlis. Yang Berusaha, Guru Besar SK Mangkapon Pitas, Guru-guru Penolong Kanan, guru-guru, dan rakan-rakan yang dikasihi. Salam sejahtera saya ucapkan.
Saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang berucap dalam majlis yang penuh bersejarah ini. Pelantikan saya sebagai Ketua Murid bagi sesi 2011/2012 merupakan satu amanah yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Hadirin yang dikasihi,
Saya dan rakan-rakan yang baru dilantik berjanji untuk melaksanakan tugas menguatkuasakan undang-undang dan disiplin di sekolah. Sebagai polis kecil di sekolah, kami akan memastikan agar semua murid mematuhi segala peraturan yang sedia ada.
Di samping itu, saya mengharapkan kerjasama daripada guru-guru dan semua murid supaya kita dapat melaksanakan tugas masing-masing. Tanpa kerjasama anda semua, saya yakin sekolah kita akan dipandang serong oleh orang lain. Saya seru kepada anda semua, marilah kita bersatu hati.
Guru-guru dan rakan yang disayangi,
Sekiranya kita mahu berjaya dalam kurikulum dan kokurikulum, aspek disiplin mesti diutamakan. Hanya mereka yang berdisiplin sahaja akan berjaya dengan cemerlang. Sesuatu perkara jika dilakukan dengan sambil lewa, hasilnya kurang berjaya. Jadi, kita tingkatkanlah tahap disiplin masing-masing.
Sebagai insan yang bergelar manusia, kita pasti melakukan kesilapan. Tegur dan bantulah jika kami tidak dapat menjalankan  tugas dengan sempurna. Bimbingan kalian akan dijadikan panduan buat saya dan rakan-rakan pengawas.
Sebelum mengundur diri, saya memohon ampun dan maaf jika ucapan tadi menyinggung mana-mana pihak. Terimalah serangkap pantun daripada saya,

Berbuka puasa dengan keria,
Minumannya pula air soya;
Tugas ini tugas mulia,
Apa yang dikata akan dikota.

No comments: